Friday, June 12, 2009

Penyakit kencing manis, sejarahnya



Penyakit kencing manis diketahui sejak tamaddun purba lagi dan ia direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina , dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit ini, seperti rasa dahaga yang terlampau dan kencing yang kerap, pernah digambarkan oleh orang Mesir yang dicatat di atas paprus pada tahun 1550 BC. Para pakar perubatan India pula telah membahagikan pesakit kencing manis kepada dua golongan sejak abad ke lima.

Nama lain bagi penyakit kencing manis, diabetes yang memberi erti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia sejak 2,000 tahun dahulu. Perkataan mellitus kemudian ditambah pula oleh Willis untuk menunjukkan terdapat kandungan gula di dalam air kencing. Salah satu dari ujian untuk mengesan pesakit penyakit kencing manis yang terawal adalah dengan mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat sama ada semut menghurungi tempat tersebut atau tidak.

Selain itu, bukti kaitan antara kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis pula dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains iaitu Minkowski dan Von Mering telah membuktikan hubungan antara kelenjar pankreas dengan penyakit kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, yang akhirnya menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.
Walaupun penyakit kencing manis telah agak lama diketahui, pengawalan terhadap penyakit kencing manis yang berkesan bagaimanapun hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best telah menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukos di dalam darah.



2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete